Terima kasih ya Allah atas kesempatan yang Kau berikan...
Walau berjauhan, berada di bumi asing, namun saya tetap mengikuti perkembangan semasa di tanah air. Namun, hati sesak melihat dan mendengar berita-berita yang dipaparkan di media massa - berita pembuangan bayi, sumbang mahram, rompak, ragut, rogol, bunuh dan deretan senarai yang tidak terungkapkan..
Wahai insan, di mana letak hatimu?
Kadangkala pelik memikirkan mengapa gejala sosial terus membelenggu masyarakat. Apakah yang kurang? Pembangunan fizikal yang semakin pesat rupanya tidak berkadar langsung dengan pembangunan rohani insan. Makin disogok kemajuan makin diragut kemanusiaan. Di mana, di mana letaknya hatimu insan?
Mungkinkah ini kesannya bila agama diamal separuh-saparuh? Diambil bila perlu, dipegang bila terasa ada kepentingan, lantas bila difikir "menyusahkan" ia disisih. Antara isi kandungan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:85):
"......sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."
Allah telah mengingatkan tentang balasan-Nya bagi orang yang mengambil agama sebahagiannya dan meninggalkan sebahagian yang lain iaitu kehinaan di dunia dan azab di akhirat.
Ya Allah bagaimana untuk kita terus merasa tenang dengan murka Allah? Ingatlah sahabat-sahabat, andai azab Allah tiba, tiada satu pun yang akan terkecuali.
Mungkin ada yang terfikir...
1) Ini kerja orang lain, dosa orang lain, aku tak perlu fikir.
2) Tak apa lah asalkan yang buat tu bukan kaum kerabat kita.
3) Dah keadaan macam ni, aku bukan boleh buat apa-apa pun..
2) Tak apa lah asalkan yang buat tu bukan kaum kerabat kita.
3) Dah keadaan macam ni, aku bukan boleh buat apa-apa pun..
Ya, kadangkala saya juga terfikir begitu, masakan perbuatan orang lain perlu kita ambil "pot". Tetapi perlulah kita ingat bahawa kita perlu melakukan sesuatu mengikut kemampuan kita, paling kurang berdoalah. Berdoalah agar ummah ini kembali ke jalan-Nya.
Hakikat yang perlu diingatkan di sini ialah, setiap perbuatan jahat membawa kepada dosa dan ia turut disumbang oleh bisikan jahat musuh manusia yang utama; iblis dan syaitan. Kerana makhluk ini telah berjanji seperti dalam firman-Nya (Surah Al-Hijr: 15: 39-40):
"Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".
Ingatlah bahawa hidup itu satu ujian. Hanya yang bersedia dengan persediaan yang cukup akan "lulus" dan akhirnya kepada Allah lah kita kembali dengan kematian yang pasti. Segala kebaikan dan keburukan adalah cubaan buat manusia seperti firman-Nya (Surah Al-Anbiya' : 21:35)
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
Jadi, apakah yang boleh kita lakukan sekarang?
1) Baiki diri anda.
Ya, bermulalah dari diri anda sendiri. Latih diri untuk tidak mendekati maksiat, apatah lagi melakukannya. Rasakan beratnya seksa melakukan dosa ibarat dihimpap bukit besar di dada. Rasakan ketakutan terhadap azab Allah yang tidak mungkin mampu kita menanggungnya di akhirat kelak.
2) Dalam proses pembaikan diri yang berterusan, majukan terus kepada ahli keluarga anda.
Didik adik-beradik, sepupu, dan keluarga terdekat tentang pentingnya menjauhi maksiat. Bawa hati mereka kepada Allah. Memang ia agak sukar, saya akui. Untuk menegur orang yang terdekat memang susah. Namun, carilah cara terbaik untuk melakukannya. Yakinlah akal kurniaan Allah mampu memikirkannya, dan berdoalah kepada pemegang hati manusia.
3) Kurangkan diri dari melakukan perkara lagha.
Contoh yang boleh saya berikan ialah menonton filem atau video yang tidak membina minda yang mungkin hanya memaparkan adegan lucu, ngeri, seram, lucah dan sebagainya. Jangan biar hati anda terikat dengan perkara yang melalaikan.
4) Andai anda sukar berubah bersendirian, ajaklah teman anda.
Sama-sama buat perubahan. Mulakan dengan persekitaran yang baik. Jadilah teman setia yang saling mengingatkan dan saling menguatkan.
5) Berdoalah.
MasyaAllah la haulawala quwwatailla Billah (maksud: apa yang dikehendaki Allah itu pasti berlaku, tiada daya melainkan dengan (pertolongan) Allah) sebagai doa untuk menolak bala.
Akhir kata, setiap perkara buruk yang berlaku di sekitar kita memberi pengajaran bermakna untuk direnungkan. Pandanglah ia sebagai peringatan Allah kepada manusia. Allah masih memberi peluang kepada kita untuk berubah, maka bergeraklah segera. Didik hatimu supaya hatimu terisi dengan kebenaran bukan kebatilan yang menyesatkan. Turut mengingatkan diri yang lemah ini.
No comments:
Post a Comment