Bahkan, jika saya pulang ke kampung juga, seorang pakcik yang mesra dipanggil 'wak' sering menyakat saya apabila kami duduk berlaga lutut, di saf pertama. "Bal, bila nak bawak balik pramugari?" Ah, dia memang ramah. Kerana senyumnya sahaja, saya sudah rasa bahagia.
Dan wajarlah para pramugari sinonim dengan cantik dan aggun kerana melihatkan belanja bulanan mereka pada alat mekap dan set kecantikan sahaja sudah beribu-ribu ringgit.
Dan disana timbul persoalan. Adakah islam sebuah agama yang hanya menuntut agar penganutnya mencantikkan fizikal semata-mata?
Tidak! Pasti jawapannya tidak.
Dan demikian juga yang diajukan kepada saya, iaitu tentang nasib lelaki dan wanita yang tidak cantik. Pada pendapat saya, kerisauan yang ditunjukkan oleh yang bertanya itu memang ada asasnya kerana kita boleh melihat bahawa memang kecantikan seseorang atau ketampanan seseorang, peranannya besar dalam soal mencari jodoh.
Kerana itu, seringkali orang yang kekurangan kecantikan fizikal merasa rendah diri, merasa malu, dan merasa terhina sedangkan ia suatu yang tidak perlu dan hakikatnya, memang tidak ada! Setidak-tidaknya, dia masih lagi mulia di sisi Allah. Dan beritahu saya, apakah yang lebih indah di dunia ini selain daripada Allah memandang kita dengan pandangan kasih?
Saudara, dan saudari yang saya kasih kerana Allah. Bersama, mari kita susuri kisah seorang sahabat yang mulia yang bernama Julaibib.
Siapa antara kalian ada mengenali Julaibib?
Rasanya tiada. Kerana memang dia tidak dikenali. Baik di zamannya, atau di zaman ini. Memang pada pandangan manusia biasa, dia tiada apa-apa.
Julaibib lahir tanpa dirinya mengetahui nasab keturunannya. Ya. Dirinya tiada mengenal siapa itu ibu dan siapa itu ayahnya. Tetangganya juga sama, tidak mengentahui dari masa asalnya. Julaibib itu, jika diceritakan tentang fizikalnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan otot muka kita berkerut.
Dia lelaki pendek. Kerdil. Kulitnya hitam legam. Mukanya hodoh. Dirinya miskin. Bahkan hidupnya, sebatang kara.
Dia terpinggir dari masyarakat. Hadirnya, atau tiadanya, tiada apa-apa bagi masyarakat. Hanya Rasulallah S.A.W sahaja yang mengambil berat tentang lelaki kerdil ini.
Pun dirinya punya kekurangan yang seribu, tetap dia akan menjadi antara yang terpaling hadapan dalam saf peperangan. Bukan hanya itu, Julaibib juga tidak rela dirinya ketinggalan daripada berada di saf pertama untuk solat fardu, disetiap kalinya.
Saat semua orang membencinya, dia masih tersenyum kerana di sana, ada seorang lelaki yang kasih padanya. Ah. Beruntunglah Julaibib, kerana sungguh Rasulallah amat mencintai lelaki kerdil ini.
Satu ketika, Rasulallah memanggil Julaibib. "Wahai sahabat yang aku cinta. Mahukah dirimu bernikah?"
Julaibib tersenyum manis. Wajah gelapnya tampak jernih. Dengan redha, dia menjawab, "Wahai Rasulallah, apakah ada orang yang mahu menikahkan puterinya dengan daku?"
Jawapannya ikhlas. Dirinya redha, tanpa sekelumit kesal dan merajuk pada Ilahi yang menciptakannya begitu.
Rasulallah S.A.W mengulangi pertanyaan. "Wahai Julaibib. Inginkah kamu untuk bernikah?"
Masih dengan senyuman yang mekar dalam keimanan dan penyerahan diri pada Allah, Julaibib menjawab ikhlas, "Ya Rasulallah... adakah ada orang yang mahu menikahkan puterinya dengan aku?"
Lalu, Rasulallah membawa Julaibib bertemu dengan seorang sahabat Ansar.
"Wahai sahabat, aku mahu meminang puterimu"
Maka, berseri-seri wajah lelaki ansar tadi. Dirinya menyangka bahawa Rasulallah berhajat mahu memperisterikan anak gadisnya. Cuma, gembiranya dan serinya itu bertukar malap serta merta saat terhujah di telinganya bahawa pinangan itu bukan untuk Rasulallah, tetapi untuk Julaibib!
"Julaibib? Aduh. Izinkan aku berbincang dahulu bersama isteriku kerana ia sebuah urusan yang sangat besar", pinta lelaki tadi dengan wajah yang bertukar kelat tiba-tiba.
Saat perkara itu sampai kepada isterinya, wanita itu tekad. "Julaibib? Ah! Tidak! Demi Allah! Sesekali tidak akan kita kahwinkan anak kita dengan Julaibib!"
Naluri si ibu memang begitu. Mereka mahu yang terbaik buat anak mereka. Memang dari pertimbangan akal, sekiranya yang dinikahi itu ialah Julaibib, maka dari celah mana adanya bahagia? Julaibib kerdil, hodoh, miskin, tiada keluarga... dan sejuta macam kekurangan dan kelemahan.
Sedang si ibu berkeras tidak mahu mengizinkan, si ayah cuba memujuk kerana mungkin, dirinya malu untuk menghampakan Rasulallah. Perbincangan itu terdengar oleh anak gadis itu.
Gadis itu bertanya, "Daripada siapakah lamaran ini?"
Lalu diberitahu kepadanya. "Daripada Rasulallah s.a.w tetapi kepada Julaibib"
Subhanallah...
Dengan lembut dan hati yang bulat mengharap cinta Allah, gadis solehah itu memujuk, "Ketahuilah ibu, sekiranya ia adalah permintaan daripada Rasulallah, maka pasti tidak akan ada satu mudharat pun yang akan menimpa diriku. Kahwinkanlah aku dengan Julaibib..."
Kisah Julaibib yang istimewa tidak berhenti disini.
Julaibib, tidak lama selepas bernikah, sampai seruan untuk jihad. Masih menjadi pengantin baru, Julaibib telahpun sedia menyandang senjatanya. Seruan jihad benar-benar membakar jiwa juangnya.
Di medan perang, Julaibib terbunuh. Dia syahid.
Akhir pertempuran, jasad-jasad yang terkulai di medan perang akan dikumpulkan. Jasad para syuhada' juga dikumpulkan di suatu tempat. Suanana menjadi sangat sayu.
Tiba-tiba, Rasulallah bertanya, "Adakah kalian kehilangan seseorang?"
Para sahabat segera menjawab, "InsyaAllah tiada, ya Rasulalallah"
Sekali lagi, Baginda bertanya, "Adakah kalian telah kehilangan seseorang?"
Kali ini para sahabat tidak terus menjawab. Mereka mula merasa ragu-ragu.
Lalu Rasulallah S.A.W berkata, "Sungguh, aku telah kehilangan Julaibib..."
Subhanallah... Saya hampir menitiskan air mata saat mendengar kata-kata yang keluar dari bibir mulia Baginda Rasul ini.
Rasulallah kemudiannya menyambung, "Sesungguhnya Julaibib ialah sebahagian daripada diriku dan diriku ialah bahagian darripada dirinya"
Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!
Mulianya si hodoh itu... Beruntungnya si miskin itu... Bahagianya si kerdil itu...
Itulah Julaibib... Dirinya tidak terkenal di bumi, tetapi namanya disebut-sebut oleh penduduk langit...
Dan buat kalian yang pernah merasa rendah diri, merajuk dan kesal dengan ciptaan Allah,
Ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak memandang kecantikan fizikal kita tetapi Allah dan Rasul-Nya memandang kecantikan iman kita. Allah menilai ketaqwaan kita.
Dan jika antara kita yang teringin untuk bersua muka dengan Rasulallah, berhentilah merajuk. Dan belajarlah untuk bersyukur, bersabar dan redha dengan ciptaan Allah kerana ia adalah asas kepada kehambaan.
No comments:
Post a Comment