Saturday, January 29, 2011

KESIAN IRSYAD........

"Irsyad seorang murid yang aktif dan lincah. Dia sangat suka bermain bola sepak dan terpilih mewakili sekolah dalam sukan itu. Dia bercita-cita menjadi pemain bola sepak professional apabila dewasa kelak, seperti idolanya Safee Sali. Main bola sepak, kalau menang boleh dapat duit banyak, boleh dapat tanah, macam anak-anak Terengganu dalam pasukan Harimau Malaya. Bolehlah Irsyad bina rumah untuk keluarganya. Tidak perlu lagi berpindah-randah setiap kali bapanya gagal membayar sewa rumah.

Tapi, Irsyad ada satu masalah. Entah kenapa tahun ini dia tidak dapat makanan percuma. Kalau tahun-tahun lepas, Irsyadlah antara murid yang terawal datang ke sekolah kerana hendak makan makanan percuma yang disediakan pihak sekolah. Selepas habis makan, Irsyad akan terus duduk di kantin sehingga loceng berbunyi. Irsyad akan bungkus makanan atau buah-buahan yang tidak habis untuk dimakan pada waktu rehat. Irsyad tidak pernah bawa duit belanja ke sekolah. Bapanya bukanlah orang senang. Adik-beradiknya juga ramai.

Irsyad tanya cikgu kenapa Irsyad tak dapat makanan percuma lagi. Cikgu cakap, mulai tahun ini pihak kementerian pelajaran sendiri yang akan menentukan murid itu dapat bantuan makanan percuma atau tidak melalui program E-Kasih. Cikgu kata, tahun ini cuma seorang murid sahaja yang layak menerima makanan percuma. Bukan lagi 60 orang seperti tahun lepas.

Tengah hari itu, Irsyad lapar sangat. Malam tadi Irsyad tak makan sebab beras di rumah sudah habis. Petang nanti ada kelas KAFA pula. Irsyad memberanikan diri meminta RM1 daripada guru besar. Guru besar berbangsa cina itu beri Irsyad RM2 dan suruh Irsyad makan. Irsyad disindir kawan-kawannya kerana meminta duit daripada guru besar. Cerita Irsyad minta duit daripada guru besar cepat tersebar. Ustazah marah Irsyad. “Lain kali jangan minta duit daripada guru besar. Minta daripada mak ayah awak.” Irsyad cuma tunduk menahan malu. “Mak ayah Irsyad tak mampu beri duit belanja,” jawab Irsyad di dalam hati.

Irsyad baca surat khabar hari ini di perpustakaan sekolah.”Harimau Malaya terima RM1.625 juta”. Irsyad tumpang bangga. Mampukah Irsyad jadi seperti mereka bila dewasa kelak? Bolehkah Irsyad bermain bola sepak dengan baik kalau Irsyad tak cukup gizi? Irsyad merenung gambar lelaki berdahi licin di dinding perpustakaan, lelaki sama yang bergambar dengan pasukan Harimau Malaya di dada akhbar. Kenapa hentikan bantuan makanan percuma Irsyad?

No comments:

Post a Comment